Wednesday 21 February 2018

SISTEM MRT DI MALAYSIA


My Rapid Transit (MRT)  juga dikenali sebagai Aliran Transit Massa yang dijangka pembinaanya di Malaysia akan  bermula pada tahun 2012 dan siap sepenuhnya menjelang tahun 2020.  YAB Dato’Sri Mohd.Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri telah mengumumkan projek MRT bertujuan untuk membangunkan kemudahan infrastruktur sistem pengangkutan di negara ini supaya  kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur dapat dikurangkan dan memastikan kemudahan rakyat serta keselesaan pengguna untuk berhubung dari satu tempat ke satu tempat.
Kos pembinaan projek ini menelan belanja hampir RM 36.6 billion dan merupakan antara projek mega yang paling tinggi pernah dilaksanakan di Malaysia. Pembinaan  Sistem Pengangkutan Pantas di Kuala Lumpur ini  meliputi perjalanan sepanjang 150 kilometer  dengan rangkaian rel pertama dari Sungai Buloh ke Kajang, meliputi kira-kira 60 kilometer dengan 35 stesen yang akan melalui pusat bandar raya Kuala Lumpur.
Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak telah menggunakan istilah ‘Greater KL’ sewaktu mengumumkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) pada 21 September 2010 yang akan memacu Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.  Cadangan  pembinaan projek MRT yang dijangka siap pada 2020 sebahagian besarnya adalah bertujuan menangani masalah pengangkutan awam yang membebankan kehidupan pengguna yang mendiami kawasan ‘Greater Kuala Lumpur’. Greater KL  ini meliputi kawasan seluas 279,327 hektar  iaitu bermula dari  Kuala Lumpur, Putrajaya, Ampang Jaya, Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam, Kajang, Klang, Sepang dan Selayang.
Pembinaan MRT ini juga adalah satu rancangan jangka masa panjang untuk menampung pertambahan jumlah pengguna yang bakal menggunakan pengangkutan awam yang mana jumlah penduduk Kuala Lumpur dianggarkan sekitar 6 juta dan dijangka meningkat kepada 10 juta pada 2020.  Projek MRT yang berkelajuan tinggi secara besar-besaran ini telah  dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011-2015). Projek ini selaras dengan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) untuk ‘Greater KL’ bagi meningkatkan rangkaian pengangkutan awam bandar raya ini. Usaha memperbaiki sistem pengangkutan awam merupakan salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA), yang diberi keutamaan di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP).  Apabila siap sepenuhnya, MRT dijangka dapat  menawar khidmat sehingga dua juta perjalanan penumpang sehari berbanding hanya 480,000 penumpang yang menggunakan LRT  buat masa ini. Selain dapat mengurangkan kesesakan bandaraya Kuala Lumpur pada masa akan datang. Selain itu, apabila siap projek MRT ini, pendapatan negara juga dijangka meningkat   sehingga RM 12 billion setahun menjelang tahun 2020.
Projek yang di rancang ini akan mempunyai  tiga rangkaian secara keseluruhannya dan merupakan merupakan projek serampang dua mata. Pertamanya adalah untuk meningkatkan keberkesanan penggunaan perkhidmatan awam, mengurangkan kesesakan di Kuala Lumpur serta meningkatkan dan memajukan hartanah sepanjang laluan MRT. Dengan ini kemajuan sistem pengangkutan awam negara akan dapat berjalan dengan lancar dan meliputi pembangunan kawasan sekitarnya. Selain itu, MRT Malaysia juga akan melalui bandar-bandar yang mempunyai penduduk yang padat seperti Kota Damansara, Taman Tun Dr Ismail, Balakong dan Cheras. Model pembinaan MRT ini mengikut contoh model sistem MRT daripada Hong Kong yang di iktiraf sebagai yang terbaik di dunia.
Antara kebaikan projek MRT ini adalah dapat untuk mengurangkan penggunaan bahan api fosil. Proses pembakaran bahan api akan melepaskan bahan pencemar seperti karbon monoksida, oksida nitrogen, oksida sulfur serta bahan pencemar yang lain. Maka, dengan penggunaan MRT, akan dapat  mengurangkan pencemaran alam sekitar memandangkan sektor pengangkutan di Malaysia menggunakan bahan api fosil yang tinggi. Perangkaan Imbangan Tenaga Kebangsaan 2008 (National Energy Balance) menunjukkan penggunaan bahan api fosil dalam sektor pengangkutan meningkat sebanyak 35.8 peratus antara tahun 2000 dan 2008. Perbandinganya kita dapat melihat peratus penggunaan yang lebih cekap daripada jumlah penggunaan sumber tenaga bagi sektor pengangkutan di Amerika Syarikat sebanyak 28.5 peratus, Singapura 18 peratus dan Jepun 24 peratus. Justeru itu, dengan siapnya projek pembinaan MRT ini dilihat akan dapat untuk mencatatkan penurunan penggunaan bahan api fosil bagi menjamin kelestarian alam.
Kebaikan lain yang bakal diperoleh apabila siap projek MRT ini adalah untuk mengurangkan pelepasan bahan pencemar daripada kenderaan serta menyelamatkan nyawa dan menjimatkan peruntukan kebajikan kesihatan. Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) menjalankan kajian di Austria, Perancis dan Switzerland. Kajian seumpama itu membuktikan usaha mengurangkan pencemaran menerusi sistem pengangkutan awam yang efektif dapat memberikan  impak positif kepada negara iaitu menyelamatkan nyawa, alam sekitar dan memberikan manfaat ekonomi.
Masalah kesesakan yang tinggi akan dapat dikurangkan sekiranya pengguna pengangkutan awam menggunakan sistem pengangkutan awam  dengan sepenuhnya  sesuai dengan sasaran negara untuk mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020.  MRT juga dapat memastikan perkhidmatan sentiasa cekap dan mengekalkan sifar kegagalan sistem mahupun gangguan ketika persinggahan tren antara satu stesen ke satu stesen. Masa menunggu juga akan dapat untuk disingkatkan kerana ketepatan waktu dan perjalanan MRT ini dijangkakan  90% tepat dan kelewatan untuk sampai ke sesebuah destinasi akan dapat dikurangkan.
Dalam mencapai taraf negara maju menjelang 2020, pelbagai inisiatif dan pembaharuan  telah dilakukan oleh Perdana Menteri  Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak untuk menjadikan kemajuan sistem pengangkutan awam ini dapat digunakan secara menyeluruh dan efisien serta memberikan keselesaan kepada pengguna awam secara menyeluruh. Sebagai rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama menyokong dan mendoakan supaya MRT akan menjadi sebuah projek mega yang memberi kebaikan bersama serta berjalan dengan lancar dan jayanya.

No comments:

Post a Comment