Wednesday 21 February 2018

ISU TENTANG TELEFON BIMBIT

Dalam masa dua tahun yang lalu, penduduk negara ini dikatakan membelanjakan RM12.2 bilion untuk membeli telefon pintar. Statistik yang dibuat sebuah organisasi penyelidikan pemasaran terbesar Jerman, Gesellschaft fur Konsumforschung atau GfK ini dikeluarkan selepas ia melakukan pemerhatian pasaran telefon bimbit di negara ini bagi sepanjang 2015 dan 2016
Laporan itu turut menyatakan berlaku peningkatan ketara jualan telefon bimbit daripada RM5.4 bilion pada 2015 kepada RM6.8 bilion pada tahun lalu. Peningkatan jualan peranti digital ini disumbangkan terutama oleh telefon pintar model pertengahan yang berharga di antara RM900 hingga RM1,050.
Ini bermakna, secara puratanya kira-kira 12.2 juta telefon pintar dibeli penduduk negara ini untuk kegunaan mereka sepanjang dua tahun yang lalu itu. Menurut GfK, selain digunakan sebagai alat perhubungan mudah alih, pengguna menggunakan telefon pintar mereka bagi tujuan melayari Internet, melayani media sosial terutama Facebook dan WhatsApp. Ia juga digunakan sebagai alat untuk melakukan jual beli dalam talian.
Kini fungsi telefon pintar menjadi lebih pelbagai apabila semakin ramai menggunakannya sebagai peranti penting bagi urusan membuat pelbagai bayaran atas talian. Selain membeli-belah, kita boleh membeli tiket penerbangan dengan mudah menggunakan telefon pintar. Begitu juga jika kita ingin menggunakan pengangkutan awam seperti Grab dan Uber.
Untuk membayar pelbagai bil utiliti seperti elektrik, air atau langganan televisyen berbayar, pengguna kini tidak perlu lagi berbaris panjang di bank atau pejabat pos untuk melakukannya.
Dengan telefon pintar juga, urusan membayar ansuran kenderaan atau sewa rumah boleh dibuat pada bila-bila masa dan di mana-mana saja di muka bumi ini, asalkan lokasi berkenaan mempunyai hubungan Internet.
Ia juga begitu mudah, hanya perlu menggunakan hujung jari saja. Yang penting, baki di dalam akaun bank anda mempunyai jumlah yang mencukupi untuk membuat pembayaran.
Dianggarkan lebih 21 juta penduduk negara ini kini mempunyai akses terhadap Internet dengan lebih 19 juta daripadanya mempunyai akaun Facebook. Selain itu, peningkatan jumlah jualan telefon pintar di negara ini tentunya memberi keuntungan besar kepada syarikat telekomunikasi utama yang terus mencatat keuntungan berbilion ringgit saban tahun.
Perangkaan dan fakta ini secara tidak langsung menunjukkan Internet dan dunia digital memberi impak besar terhadap rakyat negara ini. Ia juga menunjukkan sebahagian besar rakyat negara kita agak lebih maju dan celik digital berbanding penduduk di banyak negara lain.
Kalau pada beberapa waktu yang lalu, selain untuk tujuan perhubungan, kegunaan utama telefon bimbit atau telefon pintar hanyalah untuk bersembang, bergosip atau bercinta melalui Facebook, WhatsApp atau WeChat, kini peranti yang canggih dan dilabel sebagai pintar (smart) ini sudah berada di fasa yang seterusnya, iaitu digunakan untuk meningkat taraf atau kedudukan penggunanya.
Maksud saya, kini semakin ramai pengguna telefon bimbit menggunakan peranti canggih sebesar separuh tapak tangan mereka itu ke arah yang lebih positif dan produktif. Jika dulu mereka banyak menggunakan data hanya untuk melayari Internet dan berinteraksi melalui WhatsApp sesama kelompok, kini telefon bimbit sudah dijadikan alat untuk meningkatkan ekonomi serta kemahiran diri.
Dalam kata lain, kepada mereka yang pintar, telefon pintar kini sudah menjadi alat untuk mencari dan menambah rezeki. Contohnya, pemandu Uber atau Grab hampir bergantung sepenuhnya kepada telefon pintar mereka untuk mencari pelanggan.
Manakala usahawan siber pula akan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan Internet untuk mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka melalui medium telefon bimbit yang kini seakan menjadi benda yang wajib dimiliki oleh setiap manusia bernyawa di negara ini.

No comments:

Post a Comment